Rabu, 1 September 2010

Berhibur dan Belajar daripada Movie

(PERINGATAN: Sila off playlist yang terdapat di sebelah kanan terlebih dahulu sebelum tonton video supaya tiada gangguan audio)

Kalau tengok dalam profile aku, sudah terang lagi bertorchlight yang aku ni minat menonton televisyen. Rancangan yang aku minat ialah movie dan tv series orang putih (aku tak berapa minat tv series Melayu kecuali Nur Kasih). Antara perkara yang buat aku minat tv series dan movie mat salleh ialah dialog/catchphrases/quotes mereka yang berisi dengan elemen humour dan falsafah. Berdasarkan percakapan watak-watak cerita ini kita boleh belajar banyak perkara baru (sejujurnya, sangat berbeza dengan produksi Malaysia).

Sebagai contoh, pertama kali aku dengar nama Sun Tzu, penulis The Art of War ialah dalam filem Gigli. Selepas itu nama yang sama aku dengar dalam tv series Fringe. Robert Oppenheimer (ketua pengarah Manhattan Project, projek menghasilkan bom atom U.S yang membedil Hiroshima dan Nagasaki) dalam tahun ini saja ada beberapa cerita aku dengar nama dia. Contohnya dalam filem The Beautiful Minds dan tv series Flash Forward. Semua cerita ini secara tak langsung memudahkan aku ingat nama tokoh-tokoh tersebut.

Dari segi elemen humour dalam dialog, antara movie yang paling aku minat ialah trilogi Terminator. Contohnya, dalam Rise of the Machines, dalam satu funny scene, Terminator (Arnold Schwarzenegger) ada cakap:

" Talk to the hand."



Dalam movie James Bond, Die Another Day pula ada satu quote oleh Bond (Pierce Brosnan) yang diucap secara bersahaja dan sinikal:

Kil: I'm Mr. Kil.
Bond: Now there's a name to die for.

Dalam movie yang sama , perbualan antara Bond dengan Q masa briefing untuk gadget Bond pun menarik juga:

Bond: You know, you are cleverer than you look.
Q: Still better than looking cleverer than you are.



Aku rasa movie yang ada paling banyak quotes yang berfalsafah yang aku suka ialah movie bercorak anarkisme, V for Vendetta. Watak utama filem tersebut, V, (Hugo Weaving) banyak mengungkapkan dialog menarik sepanjang perjalanan cerita. Begitu juga dengan watak Evey (Natalie Portman) yang mengungkapkan kepada V:

" My father was a writer. You would've liked him. He used to say that artists use lies to tell the truth, while politicians use them to cover the truth up."

Dalam babak pertarungan terakhir V menentang kerajaan totalitarian UK yang diperintah Parti Norsefire, ada satu dialog yang digemari ramai peminat filem ini berdasarkan komen dalam YouTube:

V: The only thing that you and I have ini common, Mr. Creedy, is we're both about to die.
Creedy: How do you imagine that's gonna happen?
V: With my hands around your neck.
Creedy: Bollocks. What are you gonna do? We've swept this place. You got nothing, nothing but your bloody knives and your fancy karate gimmick. We have guns.
V: No, what you have are bullets, and the hope that when your guns are empty I'm no longer standing, because if I'm you will all be dead before you've reloaded.
Creedy: That's impossible. Kill him.

Selepas itu, V mula berlawan dengan henchmen Creedy dan berjaya membunuh semua secara sendirian:

Creedy: (Menembak ke arah V) Die.....die..... Why won't you die?.....Why won't you die?
V: Beneath this mask there is more than flesh. Beneath this mask there is an idea, Mr Creedy. And ideas are bulletproof.


Jadi, tidak semestinya banyak menonton movie itu tidak bagus. Yang tidak bagusnya kalau tengok sesuatu movie secara membuta sahaja. Habiskan masa lebih dua jam dekat depan tv lepas itu lupa terus cerita dan tak dapat apa-apa faedah langsung. Sama macam seorang rakan aku, lepas tengok suatu movie, dia boleh pula kata, " Aku tak tau cerita apa, tapi best....." Satu lagi aku nak tambah sebelum tamatkan artikel ini yang aku sendiri pun tak tahu ada orang nak baca atau tidak (sampai sekarang follower aku cuma satu dan yang satu itu sebenarnya aku sendiri). Dalam movie V for Vendetta, ada banyak vocabulary yang aku belajar (kebanyakannya bermula dengan huruf V), terutama daripada babak V mula berkenalan dengan Evey. Seorang pengguna YouTube telah menterjemah babak tersebut dalam bentuk typography dengan begitu bijak dan ada ramai lagi yang sebijak pembuat video di bawah:



Movies yang dinyatakan di atas hanya sebahagian daripada movies yang bagi aku mempunyai banyak catchphrases dan quotes yang menarik dan berguna. Tapi sebab macam yang aku dah mentioned tadi, aku tak pasti ada orang atau tak yang baca artikel ni, maka cuma sebahagian sahaja yang dimuatkan. Akhir kata, jangan tonton movie secara membuta sahaja dan cuba cari sebanyak mungkin manfaat daripada movie.

(Terima kasih kerana membaca dan tolong komen dan jadi follower)

Isnin, 30 Ogos 2010

Burhanuddin Al-Helmy : Tokoh Universal

Dr. Burhanuddin Al- Helmy

Pernahkah anda mendengar nama Amir Burhanuddin bin Muhammad Nur? Atau mungkin nama yang lebih mesra dengan beliau iaitu Dr. Burhanuddin Al-Helmy? Jika anda belum pernah mengenali beliau, bersempena dengan bulan kemerdekaan yang jatuh pada bulan Ramadhan tahun ini aku berminat untuk berkongsi sedikit pengetahuan berkenaan tokoh ini. Tokoh universal ini merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan tanah air yang terulung. Pada tahun lepas ketika aku masih dalam Form 2, cikgu Sejarah telah mengarahkan kami menghasilkan folio berkenaan tokoh tanah air, dan aku telah membuat sedikit kajian berkenaan dengan Almarhum Dr. Burhanuddin untuk dimasukkan dalam folio itu.

Almarhum sangat konsisten dalam perjuangannya untuk 'mendirikan jiwa merdeka'. Perjuangan beliau bukan sahaja melibatkan kemerdekaan negara (politik) bahkan kemerdekaan daripada belenggu jiwa hamba atau feudal (sosial). Sepanjang hayatnya, beliau telah menjadikan banyak gerakan sebagai wadah perjuangan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KERIS) dan Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di mana beliau menutup hayatnya.

Almarhum yang sering menukar wahana perjuangan bukan didorongi oleh sikap oportunis. Sebaliknya beliau sebagai pejuang dan pendakwah sentiasa mencari saluran terbaik untuk mengembangkan ideanya. Jadi, beliau beralih selepas satu demi satu pertubuhan diharamkan atau didapati tidak berkesan lagi.

Tokoh yang memperoleh Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang sastera dan falsafah dari Universiti Muslim Aligarh, India ini telah berjaya menguasai 5 bahasa asing iaitu Bahasa Inggeris, Arab, Perancis, Belanda dan Jerman. Almarhum juga merupakan pelopor perubatan homeopati di Malaysia.

Semangat perjuangan menentang imperialisme Dr. Burhanuddin dipengaruhi oleh Gerakan Islah yang berpunca daripada penjajahan British di Mesir pada 1882. Gerakan ini dipelopori oleh Sayid Jamaluddin Al-Afghani. Almarhum Dr. Burhanuddin pernah dipenjarakan kerana majalah bercorak anti- British yang diterbitkannya. Majalah tersebut ialah majalah Taman Bahagia. Akibat kesungguhan dan keberanian beliau , Almarhum telah ditahan oleh pihak British setelah kira-kira satu jam majalah itu diterbitkan. Beliau juga merupakan tokoh yang bergiat aktif dalam penentangan pembentukan negara Israel di atas bumi Palestin oleh rejim Zionis laknatullah. Pembentukan ini dianjur oleh tiga kuasa imperialis iaitu Britain, Amerika dan Rusia pada 1948. Akibat daripada penglibatan beliau ini, Dr. Burhanuddin Al- Helmy menjadi warganegara Tanah Melayu yang pertama meringkuk dalam penjara oleh pihak British disebabkan oleh isu Palestin.

Sayid Jamaluddin Al- Afghani

Ketika PAS ditubuhkan pada Ogos 1951, Dr. Burhanuddin sedang berada dalam tahanan di Singapura ekoran dituduh terlibat dalam demonstrasi berkenaan peristiwa Natrah. Dr. Haji Abbas Alias yang menjadi Yang Dipertua Agung PAS kedua, terpaksa meletak jawatan tersebut kerana terikat dengan jawatan dalam kerajaan. Selepas Dr. Burhanuddin dibebaskan, Ustaz Abdul Wahab Noor dan Ustaz Baharuddin Latiff telah diutus untuk menawarkan kekosongan jawatan tersebut kepada Dr. Burhanuddin dan beliau menerima amanah tersebut.

Prinsip perjuangan Almarhum untuk menegakkan sebuah negara Islam sangat kental dan diakui oleh pemimpin-pemimpin United Malays National Organisation (UMNO) pada zamannya sebagai seseorang yang tidak menggadai falsafah perjuangannya. UMNO merupakan parti pemerintah Tanah Melayu yang memperjuangkan hak orang Melayu berbanding PAS yang memperjuangkan Islam. Dr. Burhanuddin pernah menegaskan perbezaan antara agama dengan bangsa;
"Islam memandang kebangsaan sebagai alat dan bukan sebagai tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan boleh sebagai satu lambang untuk menarik dan menyatukan tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan sebagai tujuan, tetapi sebagai alat atau tunggangan untuk ke akhirat."

Dr. Burhanuddin Al- Helmy wajar digelar sebagai seorang tokoh universal kerana beliau bukan sahaja memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, malahan turut terlibat dalam gerakan menentang imperialisme antarabangsa. Ketika menuntut di Universiti Muslim Aligarh, beliau mengambil kesempatan melibatkan diri dalam perjuangan kemerdekaan India. Beliau juga sempat berkenalan dengan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India seperti Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru. Semasa berada di Palestin dan Turki pula beliau melibatkan diri dalam gerakan anti-British. Dr. Burhanuddin juga terlibat dalam Persidangan Afro- Asia di Bandung yang bertujuan menyatukan rakyat Asia dan Afrika menentang imperialisme.

Mohd Ali Jinnah

Tanggal 25 Oktober 1969 menyaksikan tanah air tercinta kita, Malaysia kehilangan seorang tokoh tanah air yang tawaduk. Almarhum Dr. Burhanuddin Al- Helmy pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan setelah dibebaskan pada Mac 1966, beliau telah jatuh uzur sepanjang masa beliau dalam tahanan tanpa perbicaraan itu. Beliau dikatakan jatuh sakit kerana malu untuk membuang air bagi memelihara maruahnya kerana keadaan tandas yang terbuka dalam tempat beliau ditahan. Selepas dibebaskan, beliau tidak dibenarkan berpolitik sehingga syarat tersebut ditarik balik pada 22 September 1969. Namun, tidak lama selepas syarat tersebut ditarik balik beliau telah kembali ke rahmatullah pada 25 Oktober tahun yang sama.

Al- Fatihah..........

Ahad, 29 Ogos 2010

Jenaka Detektif (2)

Seorang pegawai polis sedang menyoal 3 orang pelatih yang ingin menjadi detektif. Untuk menguji kemahiran mereka mengenalpasti suspek, beliau menunjukkan sekeping gambar selama 5 saat kepada pelatih pertama.

" Ini ialah suspek awak. Bagaimana awak mengenalpastinya?"

Pelatih pertama menjawab dengan penuh confidence, " Senang saja tu..... kita akan dapat tangkap dia dengan cepat sebab dia cuma ada satu mata."

Pegawai polis itu menjawab, " Hmmm..... memanglah, sebab ini ialah gambar profile dia."

Sedikit kecewa dengan jawapan pelatih pertama yang merapu, dia menunjukkan gambar tersebut kepada pelatih kedua pula selama 5 saat.

" Ini ialah suspek awak. Bagaimana awak mengenalpastinya?"

Pelatih kedua menjawab, juga dengan confidence, " Ha, dia memang senang ditangkap sebab dia cuma ada satu telinga."

Pegawai polis itu menjawab dengan marah, " Apa kena dengan awak berdua ni? Sudah tentu gambar ni cuma tunjuk satu mata dan satu telinga sebab ini ialah gambar profile. Adakah itu jawapan terbaik awak berdua?"

Sangat marah dengan kedua-dua pelatih tersebut, pegawai itu menunjukkan gambar itu kepada pelatih ketiga selama 5 saat.

" Ini ialah suspek awak. Bagaimana awak mengenalpastinya?" kemudian dia cepat-cepat memberi amaran, " berfikir dahulu sebelum berikan jawapan bodoh kepada saya."

Pelatih ketiga melihat gambar tersebut dan berfikir secara dalam-dalam. Setelah beberapa lama memerah otak, dia pun menjawab.

" Hmmm..... suspek ni pakai contact lense."

Pegawai polis itu terperanjat yang amat sangat sebab dia sendiri tidak tahu suspek itu pakai contact lense atau tidak.

" Jawapan yang menarik. Saya akan periksa fail ini dalam pejabat dan kembali semula."

Pegawai itu bergegas meninggalkan bilik itu, pergi ke pejabat dan memeriksa fail suspek tersebut dalam komputer. Dia kembali semula ke bilik itu dengan senyuman melebar sampai ke telinga.

" Wah ! Sukar untuk dipercayai. Memang benar. Suspek itu pakai contact lense. Syabas! Bagaimana awak boleh membuat kesimpulan dengan begitu tepat?"

" Senang saja....." pelatih itu menjawab, " dia tidak boleh pakai cermin mata biasa sebab dia cuma ada satu mata dan satu telinga!"

Reaksi artis Hollywood terhadap pencerobohan Gaza

Artikel ini ditulis berdasarkan kolum al-makr daripada akhbar Harakah (Fikrah), 1-4 Februari 2010. Sebagai seorang muslim aku berasa bertanggungjawab untuk berkongsi kandungan kolum ini. Kepada sesiapa yang pernah baca, bacalah sekali lagi sebagai peringatan yang berulang-ulang. Kolum ini menyiarkan reaksi bintang-bintang (dan binatang-binatang) Hollywood yang terkemuka berkenaan dengan pencerobohan Gaza oleh rejim Zionis Yahudi laknatullah. Ada yang menunjukkan simpati terhadap rakyat Gaza tetapi ada juga yang mendukung Zionis.

" Bush, Sharon, Blair dan Rice ialah nama-nama yang akan dikutuk sejarah sepanjang masa."
-GEORGE CLOONEY (Batman- Batman and Robin)

" Bangsa Arab dan orang Islam bukan pengganas. Dunia harus bersatu melawan Israel."
- ANGELINA JOLIE (Lara Croft)

" Kita selama ini hanya berkata dari sudut pandang yang mempunyai kekuatan, bagaimana kalau kita ada di posisi yang lemah?"
- SEAN CONNERY (James Bond, Henry Jones Sr.- Indiana Jones and the Last Crusade)

" Zionis ialah sumber kehancuran. Saya berharap saya dapat melawan mereka."
- MEL GIBSON (William Wallace- Braveheart)

" Kita sekarang hidup dalam zaman di mana yang kuat memakan yang lemah. Kita tidak lebih baik daripada bangsa Arab."
-RALPH FIENNES (Lord Voldermort- Harry Potter)


" Cuba pelajari sejenak sejarah bangsa Yahudi, maka anda akan tahu siapa sebenarnya penganas."
-AL PACINO (Michael Corleone- The Godfather)

" Orang Arab ialah sumber keganasan di dunia sekarang ini. Saya harap Israel menghancurkan mereka."
-TOM CRUISE (Ethan Hunt- Mission : Impossible)

" Kedua-duanya, baik Palestin ataupun Israel, salah. Mereka harus menghentikan perang ini."
-WILL SMITH (Agent J- Men In Black)

" Bangsa Arab hanya parasit di muka bumi ini, mereka harus ditumpaskan."
-RICHARD GERE (Martin Vail- Primal Fear)

" Kemanusiaan akan dapat ditegakkan di dunia jika negara Israel sudah berdiri."
-DUSTIN HOFFMAN (Master Shifu- Kung Fu Panda)

" Jika bangsa Arab kuat, mereka akan menghancurkan dunia. Maka sekarang kita harus menghancurkan mereka."
-KEANU REEVES (Neo- Matrix)

" Bangsa Arab lebih hina daripada binatang, dan kita Yahudi ialah bangsa terpilih. Tiada lagi keraguan mengenai perkara itu."
-HARRISON FORD (Indiana Jones)

...................................................................................................................

Catatan kaki ini dibuat setelah beberapa lama artikel di atas diterbitkan. Blog ini berusaha menyampaikan maklumat yang sahih dan berguna kepada pembaca (jika pembaca tersebut wujud, sebab sehingga catatan ni dibuat blog ini cuma ada satu follower dan follower itu ialah aku sendiri).

Selepas dibuat sedikit research, maklumat di atas dianggap tidak sahih oleh banyak pihak. Keanu Reeves dikatakan tidak mungkin mengungkapkan ayat sedemikian kerana dia sendiri dilahirkan di Lubnan. Dalam banyak-banyak artis di atas, statement Angelina Jolie dianggap sahih oleh kebanyakan pihak sebab dia sendiri banyak meluangkan masa di negara Arab untuk kerja kebajikan terutamanya di Lubnan. Mel Gibson pula dianggap pernah menuturkan ayat tersebut kerana bersikap anti-semitism.

Harap maaf atas segala kesilapan fakta.


Sabtu, 28 Ogos 2010

The Tell-Tale Heart (Terjemahan)

Karya asal : Edgar Allan Poe

Terjemahan: hadi_8149

Gila! Gila – itulah yang mereka kata kepada aku.

Memang benar aku berasa gementar. Gementar yang amat sangat, tetapi mengapa mereka panggil aku gila?

Demam yang aku dapat pada tahun lepas – hanya menajamkan lagi pancainderaku – bukan merosakkannya. Paling penting sekali, deria pendengaranku menjadi yang paling tajam antara semua deriaku. Aku mampu mendengar banyak benda di Langit dan Bumi. Sekalipun bunyi tersebut datang dari Neraka juga boleh aku dengar. Jadi, mengapa aku dikatakan gila?

Dengar sini! Anda semua akan dapat lihat betapa tenangnya aku menceritakan keseluruhan kisah ini.

Mustahil untuk menceritakan bagaimana idea tersebut datang kepadaku pada mulanya, tetapi sejurus idea tersebut menembusi otakku, aku sering dihantui tidak kira siang atau malam. Sebenarnya, tiada sebab untuk aku terfikir melakukannya dalam mindaku – suatu pembunuhan! Aku sayang akan lelaki tua itu. Aku menyewa bilik di rumahnya. Dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan kepadaku. Dia tidak pernah menghina aku. Memang benar, dia memiliki emas, tetapi aku tidak berminat terhadapnya.

Aku rasa kerana matanya! Ya, matanya yang telah menghantui aku. Anda lihat, salah satu daripada matanya normal, tetapi yang satu lagi menyerupai mata seekor burung nasar! Warnanya biru pucat dengan selaput di hadapannya. Setiap kali matanya memandang aku, darahku mengalir deras. Kemudian, setelah berfikir panjang, aku bertekad – aku akan bunuh lelaki tua itu, dan selepas itu aku akan bebas daripada tenungan matanya, selama-lamanya.

Anda kata aku gila! Tetapi perlakuan orang gila tidak teratur. Mereka tidak boleh merancang apa-apa pun. Tetapi anda sepatutnya menyedarinya! Anda sepatutnya menyedari betapa bijak dan teratur aku merangka setiap langkahku! Anda juga sepatutnya menyedari betapa liciknya aku melaksanakan kerjaku!

Aku tidak pernah berkelakuan lebih baik kepada orang tua itu selain sepanjang minggu sebelum aku menamatkan riwayatnya. Hampir setiap tengah malam aku buka selak pintu biliknya – sungguh berhati-hati! Seterusnya, setelah pintu itu terbuka cukup-cukup untukku menyuakan kepala, aku masukkan lampu pelita ke dalam bilik itu. Lampu pelita itu aku tutup sepenuhnya supaya tiada cahaya yang keluar. Kemudian aku menyuakan kepalaku pula masuk melalui celah pintu yang terbuka itu.


Aku bergerak perlahan-lahan – sangat perlahan, bagi mengelakkan orang tua itu terjaga. Aku mengambil masa selama satu jam untuk kepalaku sampai sejauh mungkin melalui pintu tersebut untuk melihat orang tua itu terbaring di tempat tidurnya. Ha, bolehkah seseorang yang gila bertindak dengan sebegitu berhati-hati?

Kemudian, apabila kepalaku sudah masuk melalui pintu itu, aku membuka lampu pelita itu dengan berhati-hati. Aku membukanya dengan sangat berhati-hati sehingga hanya segaris cahaya halus yang menyinari mata burung nasar itu. Hanya segaris.

Aku melakukan perkara yang sama selama tujuh malam yang panjang – setiap tengah malam. Setiap malam juga aku mendapati mata itu tertutup rapat. Jadi, sangat mustahil untuk aku melaksanakan kerja aku. Anda lihat, bukan orang tua itu yang meradangkan aku, tetapi Mata Iblisnya.

Setiap pagi sepanjang minggu tersebut aku pergi ke biliknya dan bersembang dengannya. Aku memanggil namanya dengan mesra dan bertanya bagaimana dia menghabiskan waktu tidurnya. Anda lihat, dia boleh jadi seorang lelaki tua yang penuh syak wasangka jika dia menyedari pada setiap tengah malam aku memerhatikannya ketika dia sedang tidur.

Pada malam yang kelapan, aku lebih berhati-hati daripada biasa ketika membuka pintu biliknya. Jarum minit jam pastinya bergerak lebih pantas daripada pergerakanku. Tidak sehingga pada malam itu ketika aku berasa peningkatan keberanianku! Aku terfikir bahawa orang tua itu tidak bermimpi atau terfikir sekelumit pun tentang tindakan rahsiaku tatkala aku membuka pintu biliknya sedikit demi sedikit! Perasaan megah atas kejayaanku menyelubungi diriku. Aku ketawa sendirian….. Mungkin dia terdengar memandangkan pergerakannya yang secara tiba-tiba, seolah-olah sesuatu telah mengganggunya.

Sekarang anda mungkin fikir aku akan berundur – tetapi tidak sama sekali. Biliknya gelap-gelita, gelap segelap-gelapnya kerana dia sentiasa menutup tingkap kerana takut akan perompak. Aku tahu dia tidak dapat melihat bukaan pintu itu, jadi aku menutupnya dengan perlahan-lahan.

Akhirnya aku berjaya masuk ke dalam bilik itu. Aku baru hendak membuka lampu pelita itu ketika ibu jariku terlepas kancing lampu pelita itu. Lelaki tua itu bergegas bangun daripada tidurnya.

“ Siapa di sana?” dia menjerit.

Aku tidak bergerak dan tidak menjawab.

Selama satu jam aku tidak bergerak sedikit pun. Sepanjang masa itu juga aku tidak dengar dia berbaring semula. Dia masih duduk di katilnya sambil mendengar – sama seperti apa yang aku lakukan, malam demi malam, mendengar kumbang deathwatch menghentakkan kepala ke dinding dan menghasilkan bunyi berdetik. Bunyi ini dikatakan meramal kematian. Sememangnya ramalan tersebut akan menjadi kenyataan pada kali ini!

Tidak lama kemudian aku terdengar sedikit erangan. Aku yakin dia bukan mengerang kerana kesakitan atau kesedihan. Tidak! Aku tahu dia sedang mengerang kerana kengerian atas kematian.

Aku kenal benar dengan bunyi erangan itu. Setiap tengah malam, ketika seluruh dunia sedang dibuai mimpi, bunyi erangan yang sama keluar dari jiwaku sendiri, menambahkan rasa gerun yang aku hadapi.

Aku kata aku kenal benar dengan bunyi erangan itu. Aku tahu perasaan lelaki tua itu dan aku berasa kasihan terhadapnya, walaupun aku tetap ketawa sendirian ketika mendengarnya. Aku tahu dia sudah duduk di situ dalam keadaan terjaga sejak bunyi bising yang pertama lagi yang mengejutkannya daripada tidur. Ketakutannya semakin bertambah sejak itu. Dia mungkin mencuba sedaya upaya untuk membuang segala perasaan itu, tetapi dia tidak mampu. Dia mungkin berfikir sendirian, “ Tiada apa-apa pun, mungkin tiupan angin di cerobong,” atau “ Cuma seekor tikus,” ataupun “ Cuma bunyi seekor cengkerik,”

Memang benar, dia cuba menenangkan fikirannya dengan idea-idea tersebut, tetapi semuanya sia-sia. Sia-sia sahaja. Bayangan Maut sedang mendekatinya. Sememangnya bayangan Maut yang menyebabkan lelaki tua itu merasainya – walaupun tidak nampak atau dengar kehadiranku di dalam biliknya.

Aku menunggu dengan sabar, tetapi dia tetap tidak menyambung tidurnya. Jadi aku membuka sedikit celahan lampu pelita. Anda tidak akan dapat membayangkan betapa senyap aku membukanya sehingga hanya segaris cahaya kelam yang keluar dan menyinari mata burung nasarnya.

Mata tersebut terbuka. Luas, luas terbuka. Aku berasa geram tatkala mataku bertembung dengannya. Aku melihatnya dengan jelas – semuanya biru pucat, dengan selaput yang menjijikkan di hadapannya. Pandangan mata itu menyebabkan semua tulang sum-sum aku berasa seram sejuk. Aku tidak dapat melihat muka atau badan lelaki tua itu kerana aku hanya menyinarkan cahaya tepat-tepat di mata nasarnya.

Aku telah mengungkapkan sebelum ini bahawa kesilapan persepsi orang lain terhadap ketidak siuman tidak ada kena mengena dengan ketajaman pancainderaku. Sekarang ketajaman deria pendengaranku mencapai tahap yang paling tajam. Suatu bunyi yang kecil dan pantas singgah di cuping telingaku. Aku juga kenal benar dengan bunyi itu. Itulah degupan jantung lelaki tua itu. Degupan itu menaikkan kemarahan aku, sama seperti mana pukulan gendang menaikkan semangat seorang pahlawan.

Walau bagaimanapun aku tetap tidak bergerak langsung, sekalipun untuk bernafas. Aku memegang lampu pelita itu. Aku mahu lihat berapa lama aku boleh menyinarkan mata burung nasar itu dengan cahaya.

Sementara itu, degupan jantung lelaki tua itu semakin laju. Setiap detik degupan itu menjadi semakin laju dan kuat. Lelaki tua itu sudah tentu berasa gerun yang amat sangat!

Degupan itu menjadi semakin kuat, seperti yang aku katakan, semakin kuat setiap detik.

Aku telah beritahu sebelum ini bahawa aku rasa gementar, memang benar. Beberapa minit seterusnya aku masih tidak bergerak. Jantung lelaki tua itu seolah-olah mahu meletus. Sekarang rasa risau menyelubungi aku – bolehkah jiran sebelah mendengar bunyi yang sama? Tanpa melengah-lengahkan masa lagi aku memutuskan – masanya telah tiba!

Dengan teriakan yang kuat, aku membuka lampu pelita itu dan melompat ke dalam bilik itu.

Dia menjerit sekali, hanya sekali. Dengan segera juga aku menariknya ke atas lantai dan melemaskannya dengan tilam yang tebal. Aku tersenyum dengan bangganya, kerjaku sudah selesai.


Untuk beberapa minit seterusnya, degupan jantung itu berterusan dengan perlahan. Walau bagaimanapun aku tidak berasa risau. Aku tahu bunyi itu tidak akan dapat didengari melepasi dinding bilik itu. Akhirnya bunyi degupan itu berhenti. Lelaki tua itu sudah mati.

Aku menarik tilam itu dan memeriksa mayatnya. Ya, memang dia telah mati. Aku meletakkan tanganku di dadanya untuk beberapa minit. Tiada degupan. Dia memang telah mati. Matanya tidak akan menghantui aku lagi

Jika anda masih fikir aku gila, anda tidak akan lagi memikirkannya sedemikian – tidak lagi selepas aku menjelaskan langkah berjaga-jaga yang aku ambil untuk menyembunyikan mayat itu.

Aku mengeluarkan tiga lapis papan lantai bilik itu dan meletakkan mayat lelaki tua itu di dalam ruang antara lantai dengan tingkat bawah rumah. Kemudian aku menyusun semula papan lapis itu dengan berhati-hati, jadi tidak akan ada mata mana-mana manusia – sekalipun mata lelaki tua itu sendiri – yang dapat mengesan sesuatu yang tidak kena. Aku meletakkan semula tilam tadi di atas katil dan megemasnya supaya kelihatan seolah-olah tiada sesiapa yang tidur di atasnya sebelumnya.


Malam itu semakin hampir mendekati siang dan aku bekerja dengan terburu-buru, tetapi senyap. Sudah pukul empat pagi ketika aku habis melaksanakan rancanganku, tetapi masih gelap seperti waktu tengah malam.

Ketika loceng gereja mula berbunyi, pintu rumah itu diketuk oleh seseorang. Dengan tenang aku turun ke bawah untuk membukanya. Untuk apa aku berasa takut?

Tiga orang lelaki sedang berdiri di luar. Mereka memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai polis dengan penuh bertata susila.


“ Seorang jiran terdengar jeritan pada waktu malam,” salah seorang daripada mereka menjelaskan. “ Jiran tersebut mengesyaki perlakuan jenayah sedang berlaku. Kami dihantar untuk memeriksa bangunan ini.”

Wajahku mengukir senyuman kepada mereka. Untuk apa aku berasa risau?

“ Silakan masuk,” aku menjemput. “ Jeritan itu? Alamak – saya minta maaf jika sesiapa rasa terganggu. Jeritan itu sebenarnya – saya sendiri. Mimpi, awak tahu. Mimpi ngeri.”

Sambil bersembang, aku membawa tetamu-tetamu aku ke sekeliling rumah.

“ Lelaki tua itu sudah pergi. Dia sedang mencari ketenangan di luar bandar untuk beberapa hari. Mari ke sini dan lihat sendiri.”

Aku membawa mereka memeriksa rumah itu. Aku sendiri meminta mereka memeriksa dengan rapi.

Akhirnya aku membawa mereka masuk ke dalam bilik lelaki tua itu. Aku menunjukkan barang-barangnya dalam keadaan tidak terusik.

Penuh dengan rasa yakin, aku membawa kerusi ke dalam bilik itu dan mengajak mereka berehat seketika selepas penat melakukan kerja. Aku berasa sangat berani didorong oleh kejayaan besarku dan meletakkan kerusi aku sendiri di atas tempat persemadian lelaki tua itu.

Aku berasa sangat senang. Pegawai-pegawai itu pula berasa puas hati. Kesopananku meyakinkan mereka terhadap ceritaku dan kami bersembang tentang perkara-perkara biasa, dan aku menjawab dengan ceria.

Beberapa lama kemudian, aku mula berharap mereka akan pergi. Kepala aku menjadi sakit, dan aku rasa seperti terdengar sesuatu.

Mereka masih duduk dan bersembang. Bunyi dalam telingaku menjadi semakin jelas. Untuk mengelakkan bunyi tersebut mengganggu aku terus bercakap. Malangnya bunyi tersebut berterusan dan bertambah kuat, sehingga akhirnya aku menyedari bunyi tersebut bukan dalam telingaku. Apa yang sepatutnya aku lakukan?

Aku menjadi sangat pucat, tetapi terus bercakap dengan suara yang lebih kuat. Bunyi itu pula menjadi semakin kuat. Bunyinya seperti….. degupan jantung.

Aku tercungap-cungap – pegawai-pegawai itu pula kelihatan seperti tidak terdengar apa-apa. Aku bercakap lebih pantas, lebih kuat. Tetapi bunyi itu bertambah kuat daripada sebelumnya. Aku berdiri dan bercakap dengan pegawai-pegawai itu tentang hal yang remeh. Bunyi itu pula bertambah kuat. Mengapa pegawai-pegawai ini masih belum mahu pergi?

Aku mundar-mandir di sekeliling bilik itu dengan langkah yang luas, berpura-pura bersembang dengan pegawai-pegawai itu. Tetapi bunyi itu masih belum pergi. Ya, Tuhan! Apa yang patut aku lakukan?

Pegawai-pegawai itu terus bercakap seperti biasa. Betulkah mereka tidak terdengar apa-apa? Ya Tuhan! Tidak, tidak! Mereka dengar ! Mereka berasa syak! Mereka tahu!

Itulah yang aku fikirkan saat itu, dan masih terfikirkan perkara yang sama sekarang. Tetapi aku sudah tidak tahan lagi dengan kesengsaraan ini! Aku rasa seperti mahu menjerit atau mati!

Dan sekarang bunyi itu datang lagi! Dengar – Bertambah kuat! Bertambah kuat! BERTAMBAH KUAT!

“ Tak guna!” aku menjerit kepada pegawai-pegawai itu. “ Jangan berpura-pura lagi! Aku mengaku segala-galanya! Tarik semua papan lapis ini – sini, sini! Bunyi itu ialah degupan jantung si tak guna ini!”

Rabu, 30 Jun 2010

Jenaka Detektif

Sherlock Holmes dan Dr. Watson pergi melakukan aktiviti perkhemahan bersama-sama. Setelah makan malam, mereka berdua tidur di dalam khemah. Beberapa jam kemudian, Holmes menyedarkan sahabatnya dari tidur.

“Watson, lihat ke atas langit dan beritahu apa yang saudara nampak.”

Watson menjawab “Saya melihat ada berjuta-juta bintang.”

Holmes bertanya, “Dan apakah yang bintang-bintang tersebut beritahu saudara?”

Watson berfikir sejenak, “Secara astronomi, ia memberitahu saya terdapat berjuta-juta galaksi dan berkemungkinan berbillion planet di sana. Secara astrologi, saya mendapati planet Zuhal terletak di buruj Leo. Secara horologi, saya mengagak masa sekarang sudah melepasi empat puluh lima minit. Secara teologi, saya melihat Tuhan itu Maha Berkuasa dan kita manusia merupakan makhluk yang sangat kerdil. Secara meteorologi, saya mengagak kita akan melalui hari yang indah esok. Apakah pula yang saudara boleh simpulkan daripada bintang-bintang itu?"

Holmes berdiam seketika sebelum menjawab, "Seseorang dah curi khemah kita."