Sabtu, 28 Ogos 2010

The Tell-Tale Heart (Terjemahan)

Karya asal : Edgar Allan Poe

Terjemahan: hadi_8149

Gila! Gila – itulah yang mereka kata kepada aku.

Memang benar aku berasa gementar. Gementar yang amat sangat, tetapi mengapa mereka panggil aku gila?

Demam yang aku dapat pada tahun lepas – hanya menajamkan lagi pancainderaku – bukan merosakkannya. Paling penting sekali, deria pendengaranku menjadi yang paling tajam antara semua deriaku. Aku mampu mendengar banyak benda di Langit dan Bumi. Sekalipun bunyi tersebut datang dari Neraka juga boleh aku dengar. Jadi, mengapa aku dikatakan gila?

Dengar sini! Anda semua akan dapat lihat betapa tenangnya aku menceritakan keseluruhan kisah ini.

Mustahil untuk menceritakan bagaimana idea tersebut datang kepadaku pada mulanya, tetapi sejurus idea tersebut menembusi otakku, aku sering dihantui tidak kira siang atau malam. Sebenarnya, tiada sebab untuk aku terfikir melakukannya dalam mindaku – suatu pembunuhan! Aku sayang akan lelaki tua itu. Aku menyewa bilik di rumahnya. Dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan kepadaku. Dia tidak pernah menghina aku. Memang benar, dia memiliki emas, tetapi aku tidak berminat terhadapnya.

Aku rasa kerana matanya! Ya, matanya yang telah menghantui aku. Anda lihat, salah satu daripada matanya normal, tetapi yang satu lagi menyerupai mata seekor burung nasar! Warnanya biru pucat dengan selaput di hadapannya. Setiap kali matanya memandang aku, darahku mengalir deras. Kemudian, setelah berfikir panjang, aku bertekad – aku akan bunuh lelaki tua itu, dan selepas itu aku akan bebas daripada tenungan matanya, selama-lamanya.

Anda kata aku gila! Tetapi perlakuan orang gila tidak teratur. Mereka tidak boleh merancang apa-apa pun. Tetapi anda sepatutnya menyedarinya! Anda sepatutnya menyedari betapa bijak dan teratur aku merangka setiap langkahku! Anda juga sepatutnya menyedari betapa liciknya aku melaksanakan kerjaku!

Aku tidak pernah berkelakuan lebih baik kepada orang tua itu selain sepanjang minggu sebelum aku menamatkan riwayatnya. Hampir setiap tengah malam aku buka selak pintu biliknya – sungguh berhati-hati! Seterusnya, setelah pintu itu terbuka cukup-cukup untukku menyuakan kepala, aku masukkan lampu pelita ke dalam bilik itu. Lampu pelita itu aku tutup sepenuhnya supaya tiada cahaya yang keluar. Kemudian aku menyuakan kepalaku pula masuk melalui celah pintu yang terbuka itu.


Aku bergerak perlahan-lahan – sangat perlahan, bagi mengelakkan orang tua itu terjaga. Aku mengambil masa selama satu jam untuk kepalaku sampai sejauh mungkin melalui pintu tersebut untuk melihat orang tua itu terbaring di tempat tidurnya. Ha, bolehkah seseorang yang gila bertindak dengan sebegitu berhati-hati?

Kemudian, apabila kepalaku sudah masuk melalui pintu itu, aku membuka lampu pelita itu dengan berhati-hati. Aku membukanya dengan sangat berhati-hati sehingga hanya segaris cahaya halus yang menyinari mata burung nasar itu. Hanya segaris.

Aku melakukan perkara yang sama selama tujuh malam yang panjang – setiap tengah malam. Setiap malam juga aku mendapati mata itu tertutup rapat. Jadi, sangat mustahil untuk aku melaksanakan kerja aku. Anda lihat, bukan orang tua itu yang meradangkan aku, tetapi Mata Iblisnya.

Setiap pagi sepanjang minggu tersebut aku pergi ke biliknya dan bersembang dengannya. Aku memanggil namanya dengan mesra dan bertanya bagaimana dia menghabiskan waktu tidurnya. Anda lihat, dia boleh jadi seorang lelaki tua yang penuh syak wasangka jika dia menyedari pada setiap tengah malam aku memerhatikannya ketika dia sedang tidur.

Pada malam yang kelapan, aku lebih berhati-hati daripada biasa ketika membuka pintu biliknya. Jarum minit jam pastinya bergerak lebih pantas daripada pergerakanku. Tidak sehingga pada malam itu ketika aku berasa peningkatan keberanianku! Aku terfikir bahawa orang tua itu tidak bermimpi atau terfikir sekelumit pun tentang tindakan rahsiaku tatkala aku membuka pintu biliknya sedikit demi sedikit! Perasaan megah atas kejayaanku menyelubungi diriku. Aku ketawa sendirian….. Mungkin dia terdengar memandangkan pergerakannya yang secara tiba-tiba, seolah-olah sesuatu telah mengganggunya.

Sekarang anda mungkin fikir aku akan berundur – tetapi tidak sama sekali. Biliknya gelap-gelita, gelap segelap-gelapnya kerana dia sentiasa menutup tingkap kerana takut akan perompak. Aku tahu dia tidak dapat melihat bukaan pintu itu, jadi aku menutupnya dengan perlahan-lahan.

Akhirnya aku berjaya masuk ke dalam bilik itu. Aku baru hendak membuka lampu pelita itu ketika ibu jariku terlepas kancing lampu pelita itu. Lelaki tua itu bergegas bangun daripada tidurnya.

“ Siapa di sana?” dia menjerit.

Aku tidak bergerak dan tidak menjawab.

Selama satu jam aku tidak bergerak sedikit pun. Sepanjang masa itu juga aku tidak dengar dia berbaring semula. Dia masih duduk di katilnya sambil mendengar – sama seperti apa yang aku lakukan, malam demi malam, mendengar kumbang deathwatch menghentakkan kepala ke dinding dan menghasilkan bunyi berdetik. Bunyi ini dikatakan meramal kematian. Sememangnya ramalan tersebut akan menjadi kenyataan pada kali ini!

Tidak lama kemudian aku terdengar sedikit erangan. Aku yakin dia bukan mengerang kerana kesakitan atau kesedihan. Tidak! Aku tahu dia sedang mengerang kerana kengerian atas kematian.

Aku kenal benar dengan bunyi erangan itu. Setiap tengah malam, ketika seluruh dunia sedang dibuai mimpi, bunyi erangan yang sama keluar dari jiwaku sendiri, menambahkan rasa gerun yang aku hadapi.

Aku kata aku kenal benar dengan bunyi erangan itu. Aku tahu perasaan lelaki tua itu dan aku berasa kasihan terhadapnya, walaupun aku tetap ketawa sendirian ketika mendengarnya. Aku tahu dia sudah duduk di situ dalam keadaan terjaga sejak bunyi bising yang pertama lagi yang mengejutkannya daripada tidur. Ketakutannya semakin bertambah sejak itu. Dia mungkin mencuba sedaya upaya untuk membuang segala perasaan itu, tetapi dia tidak mampu. Dia mungkin berfikir sendirian, “ Tiada apa-apa pun, mungkin tiupan angin di cerobong,” atau “ Cuma seekor tikus,” ataupun “ Cuma bunyi seekor cengkerik,”

Memang benar, dia cuba menenangkan fikirannya dengan idea-idea tersebut, tetapi semuanya sia-sia. Sia-sia sahaja. Bayangan Maut sedang mendekatinya. Sememangnya bayangan Maut yang menyebabkan lelaki tua itu merasainya – walaupun tidak nampak atau dengar kehadiranku di dalam biliknya.

Aku menunggu dengan sabar, tetapi dia tetap tidak menyambung tidurnya. Jadi aku membuka sedikit celahan lampu pelita. Anda tidak akan dapat membayangkan betapa senyap aku membukanya sehingga hanya segaris cahaya kelam yang keluar dan menyinari mata burung nasarnya.

Mata tersebut terbuka. Luas, luas terbuka. Aku berasa geram tatkala mataku bertembung dengannya. Aku melihatnya dengan jelas – semuanya biru pucat, dengan selaput yang menjijikkan di hadapannya. Pandangan mata itu menyebabkan semua tulang sum-sum aku berasa seram sejuk. Aku tidak dapat melihat muka atau badan lelaki tua itu kerana aku hanya menyinarkan cahaya tepat-tepat di mata nasarnya.

Aku telah mengungkapkan sebelum ini bahawa kesilapan persepsi orang lain terhadap ketidak siuman tidak ada kena mengena dengan ketajaman pancainderaku. Sekarang ketajaman deria pendengaranku mencapai tahap yang paling tajam. Suatu bunyi yang kecil dan pantas singgah di cuping telingaku. Aku juga kenal benar dengan bunyi itu. Itulah degupan jantung lelaki tua itu. Degupan itu menaikkan kemarahan aku, sama seperti mana pukulan gendang menaikkan semangat seorang pahlawan.

Walau bagaimanapun aku tetap tidak bergerak langsung, sekalipun untuk bernafas. Aku memegang lampu pelita itu. Aku mahu lihat berapa lama aku boleh menyinarkan mata burung nasar itu dengan cahaya.

Sementara itu, degupan jantung lelaki tua itu semakin laju. Setiap detik degupan itu menjadi semakin laju dan kuat. Lelaki tua itu sudah tentu berasa gerun yang amat sangat!

Degupan itu menjadi semakin kuat, seperti yang aku katakan, semakin kuat setiap detik.

Aku telah beritahu sebelum ini bahawa aku rasa gementar, memang benar. Beberapa minit seterusnya aku masih tidak bergerak. Jantung lelaki tua itu seolah-olah mahu meletus. Sekarang rasa risau menyelubungi aku – bolehkah jiran sebelah mendengar bunyi yang sama? Tanpa melengah-lengahkan masa lagi aku memutuskan – masanya telah tiba!

Dengan teriakan yang kuat, aku membuka lampu pelita itu dan melompat ke dalam bilik itu.

Dia menjerit sekali, hanya sekali. Dengan segera juga aku menariknya ke atas lantai dan melemaskannya dengan tilam yang tebal. Aku tersenyum dengan bangganya, kerjaku sudah selesai.


Untuk beberapa minit seterusnya, degupan jantung itu berterusan dengan perlahan. Walau bagaimanapun aku tidak berasa risau. Aku tahu bunyi itu tidak akan dapat didengari melepasi dinding bilik itu. Akhirnya bunyi degupan itu berhenti. Lelaki tua itu sudah mati.

Aku menarik tilam itu dan memeriksa mayatnya. Ya, memang dia telah mati. Aku meletakkan tanganku di dadanya untuk beberapa minit. Tiada degupan. Dia memang telah mati. Matanya tidak akan menghantui aku lagi

Jika anda masih fikir aku gila, anda tidak akan lagi memikirkannya sedemikian – tidak lagi selepas aku menjelaskan langkah berjaga-jaga yang aku ambil untuk menyembunyikan mayat itu.

Aku mengeluarkan tiga lapis papan lantai bilik itu dan meletakkan mayat lelaki tua itu di dalam ruang antara lantai dengan tingkat bawah rumah. Kemudian aku menyusun semula papan lapis itu dengan berhati-hati, jadi tidak akan ada mata mana-mana manusia – sekalipun mata lelaki tua itu sendiri – yang dapat mengesan sesuatu yang tidak kena. Aku meletakkan semula tilam tadi di atas katil dan megemasnya supaya kelihatan seolah-olah tiada sesiapa yang tidur di atasnya sebelumnya.


Malam itu semakin hampir mendekati siang dan aku bekerja dengan terburu-buru, tetapi senyap. Sudah pukul empat pagi ketika aku habis melaksanakan rancanganku, tetapi masih gelap seperti waktu tengah malam.

Ketika loceng gereja mula berbunyi, pintu rumah itu diketuk oleh seseorang. Dengan tenang aku turun ke bawah untuk membukanya. Untuk apa aku berasa takut?

Tiga orang lelaki sedang berdiri di luar. Mereka memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai polis dengan penuh bertata susila.


“ Seorang jiran terdengar jeritan pada waktu malam,” salah seorang daripada mereka menjelaskan. “ Jiran tersebut mengesyaki perlakuan jenayah sedang berlaku. Kami dihantar untuk memeriksa bangunan ini.”

Wajahku mengukir senyuman kepada mereka. Untuk apa aku berasa risau?

“ Silakan masuk,” aku menjemput. “ Jeritan itu? Alamak – saya minta maaf jika sesiapa rasa terganggu. Jeritan itu sebenarnya – saya sendiri. Mimpi, awak tahu. Mimpi ngeri.”

Sambil bersembang, aku membawa tetamu-tetamu aku ke sekeliling rumah.

“ Lelaki tua itu sudah pergi. Dia sedang mencari ketenangan di luar bandar untuk beberapa hari. Mari ke sini dan lihat sendiri.”

Aku membawa mereka memeriksa rumah itu. Aku sendiri meminta mereka memeriksa dengan rapi.

Akhirnya aku membawa mereka masuk ke dalam bilik lelaki tua itu. Aku menunjukkan barang-barangnya dalam keadaan tidak terusik.

Penuh dengan rasa yakin, aku membawa kerusi ke dalam bilik itu dan mengajak mereka berehat seketika selepas penat melakukan kerja. Aku berasa sangat berani didorong oleh kejayaan besarku dan meletakkan kerusi aku sendiri di atas tempat persemadian lelaki tua itu.

Aku berasa sangat senang. Pegawai-pegawai itu pula berasa puas hati. Kesopananku meyakinkan mereka terhadap ceritaku dan kami bersembang tentang perkara-perkara biasa, dan aku menjawab dengan ceria.

Beberapa lama kemudian, aku mula berharap mereka akan pergi. Kepala aku menjadi sakit, dan aku rasa seperti terdengar sesuatu.

Mereka masih duduk dan bersembang. Bunyi dalam telingaku menjadi semakin jelas. Untuk mengelakkan bunyi tersebut mengganggu aku terus bercakap. Malangnya bunyi tersebut berterusan dan bertambah kuat, sehingga akhirnya aku menyedari bunyi tersebut bukan dalam telingaku. Apa yang sepatutnya aku lakukan?

Aku menjadi sangat pucat, tetapi terus bercakap dengan suara yang lebih kuat. Bunyi itu pula menjadi semakin kuat. Bunyinya seperti….. degupan jantung.

Aku tercungap-cungap – pegawai-pegawai itu pula kelihatan seperti tidak terdengar apa-apa. Aku bercakap lebih pantas, lebih kuat. Tetapi bunyi itu bertambah kuat daripada sebelumnya. Aku berdiri dan bercakap dengan pegawai-pegawai itu tentang hal yang remeh. Bunyi itu pula bertambah kuat. Mengapa pegawai-pegawai ini masih belum mahu pergi?

Aku mundar-mandir di sekeliling bilik itu dengan langkah yang luas, berpura-pura bersembang dengan pegawai-pegawai itu. Tetapi bunyi itu masih belum pergi. Ya, Tuhan! Apa yang patut aku lakukan?

Pegawai-pegawai itu terus bercakap seperti biasa. Betulkah mereka tidak terdengar apa-apa? Ya Tuhan! Tidak, tidak! Mereka dengar ! Mereka berasa syak! Mereka tahu!

Itulah yang aku fikirkan saat itu, dan masih terfikirkan perkara yang sama sekarang. Tetapi aku sudah tidak tahan lagi dengan kesengsaraan ini! Aku rasa seperti mahu menjerit atau mati!

Dan sekarang bunyi itu datang lagi! Dengar – Bertambah kuat! Bertambah kuat! BERTAMBAH KUAT!

“ Tak guna!” aku menjerit kepada pegawai-pegawai itu. “ Jangan berpura-pura lagi! Aku mengaku segala-galanya! Tarik semua papan lapis ini – sini, sini! Bunyi itu ialah degupan jantung si tak guna ini!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan